Cerita Mantan Ketua Penerangan Umno Perlis dan Singa

Sebentar tadi saya ada terbaca cerita mengenai mantan Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh yang berkata beliau sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang.

"Saya sedang menilai hala tuju politik saya, ke manakah arah politik saya. Bukan soal saya menunggu tawaran, jika keadaan sudah tidak sesuai, mahu tunggu apa lagi" katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Hashim, pemimpin pembangkang sudah banyak kali menghubunginya supaya menyertai parti mereka. Bagaimanapun, katanya, ketika ini beliau sedang melihat perkembangan terbaru dalam Umno sebelum membuat keputusan muktamad.

Membaca cerita mengenai Hashim Suboh ini mengingatkan saya kepada satu cerita yang pernah saya baca ketika di sekolah rendah dahulu. Ia mengenai seekor Raja Singa yang sangat ditakuti oleh pengikut-pengikut singanya. Raja Singa ini sering berburu bersama kumpulannya ke atas sebuah perkampungan yang dihuni oleh sekumpulan kambing. Kambing-kambing di kampung itu sangat takut kepada kumpulan singa itu terutama ketuanya yang sangat ganas itu.

Tapi akhirnya Raja Singa itu semakin tua dan suatu hari singa muda lain telah menewaskannya dan menjadi ketua baru kumpulan singa. Mantan Raja Singa yang tersingkir itu membawa diri dan akhirnya tiba di perkampungan kambing. Dia cuba berbuat baik dengan kumpulan kambing dengan harapan mereka akan menerimanya. Kumpulan kambing yang selalu bersangka baik ini akhirnya menerima Raja Singa itu. Sejak itu bilangan kambing dalam kampung tersebut semakin merosot. Lama kemudian barulah kambing-kambing lain tahu bahawa mantan Raja Singa itu telah menjadikan kambing-kambing dalam kumpulannya sebagai mangsanya tanpa mereka sedari.

Saya membawa cerita ini hanya untuk mengingatkan PAS dan PKR supaya sentiasa berhati-hati ketika menerima ahli baru. Jika Hashim Suboh hendak menyertai pembangkang di Perlis, silakan. Asal jangan jadi seperti Raja Singa tadi sudahlah.

Oleh: pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter