KETUA PEMUDA PAS P.PINANG DENDAM TERHADAP PKR?

Oleh: WFAUZDIN NS


Muktamar Pas kini di penghujungnya dan kesemua perwakilan yang hadir dari merata pelosok negeri merasa lega kerana muktamar kali ini dapat dijalankan dengan baik dan teratur. Meskipun terdapat pertandingan di peringkat tertinggi khususnya jawatan Timbalan Presiden Pas yang amat hangat dan mendebarkan sekali. Perwakilan telah memutuskan bahawa Us Nasa layak ditabalkan sebagai Timbalan Presiden Pas walaupun tidak mendapat undi yang terlalu kuat. Faktanya, Us Nasa menang, tetapi yang tidak menyokong beliau iaitu yang menyokong Husam dan Mat Sabu melebihi dari undi yang diterimanya. Apa pun kita kena terima bahawa Us Nasa adalah Timbalan Presiden Pas yang dipilih.

Semasa muktamar sedang berlangsung sekarang, saya terbaca satu kenyataan oleh Ketua Pemuda PAS P.Pinang iaitu Sdr Mohd Yusni Mat Piah di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 06 Jun 2009. Beliau mengulas tentang kemenangan calon PKR di PRK Dun Penanti baru-baru ini. Ketika muktamar baru sahaja bersemangat menyebut untuk memperkuatkan PR dan pemilihan pula seolah-olah menjurus kepada kepimpinan Ulamak, kita lihat apa yang diucapkan oleh Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini di dalam akhbar tersebut. Petikan adalah seperti berikut,
" Jika kita lihat kepada peratusan pengundi yang keluar ia amat mendukacitakan dan `signal' yang rakyat tidak puas hati dengan permainan politik PKR. PKR menang kerana rakyat beranggapan daripada memberi undi kepada calon bebas baik pilih PKR kerana Umno tidak bertanding".

Apakah maksud beliau sebenarnya ? Apakah beliau juga beranggapan bahawa pimpinan Pas yang bertungkus lumus berkempen di dalam PRK Dun Penanti tersebut turut terlibat dalam apa yang dikatakan `permainan politik PKR'? Dan, apakah pada anggapan beliau penyokong-penyokong Pas di Dun Penanti `terpaksa' mengundi calon PKR kerana tiada calon lain terutamanya Umno? Jika Umno yang masuk bertanding, apakah beliau akan merasa penyokong-penyokong Pas akan memberi undi kepada Umno? Atau sebenarnya, beliau masih berdendam dengan PKR kerana kegagalan Pemuda Pas P.Pinang untuk meletakkan calon Pas di situ? Inikah sikap seorang Ketua Pemuda Pas yang memberi ulasan dan kenyataan yang mirip seratus peratus dengan kenyataan Pemuda Umno? Post mortem masih dijalankan oleh PKR tentang keputusan pilihanraya tersebut, tetapi Ketua Pemuda Pas ini telah berani mendedahkan betapa rakan mereka PKR tidak mendapat sokongan rakyat sebenarnya.

Apakah ini jenis Ketua Pemuda di era kepimpinan Ulamak yang kini di bawah Ketua Pemuda Pas yang baru? Saya mungkin terkeliru atau diputarbelitkan oleh akhbar tersebut, tetapi saya mencabar Ketua Pemuda Pas tersebut menyaman akhbar berkenaan jika benar beliau tidak berkata demikian. Jika beliau tidak berani menyaman akhbar berkenaan, beliau harus berani meletakkan jawatannya selaku Ketua Pemuda Pas kerana beliau gagal menghayati semangat setiakawan dan persefahaman pimpinan PR termasuk pimpinan PAS sendiri. Mursyidul Am Pas dan Presiden Pas serta beberapa tokoh Pas telah bekerja kuat di PRK Dun Penanti, tiba-tiba ada pemuda yang bersikap seperti ini. Saya harap agar Ketua Pemuda Pas yang baru berani bertindak kepada Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini kerana Ketua Pemuda Pas yang baru ada berjanji bahawa beliau bukan sahaja berani berdepan dengan Ketua Pemuda Umno, bahkan sanggup berdepan dengan Najib sendiri. Nah, buktikan dulu keberanian beliau terhadap Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini.

Saya berharap kejadian seperti ini tidak meresapi ke dalam kepimpinan Pemuda Pas yang lain . Percayalah, Pas akan rosak jika punyai pimpinan seperti ini yang sentiasa mencari jalan untuk `menyakitkan hati' rakan-rakan seperjuangan mereka. Saya tidak tahu bagaimana sikap sebenar Pemuda Pas P.Pinang yang sebenarnya terhadap PR, atau mungkin beliau seorang sahaja yang bersikap sedemikian? Seekor kerbau ini harus disembelih sebelum membawa lumpur dan najis ke dalam jemaah Pas.

Sumber: http://wfauzdin.blogspot.com/

 
Load Counter