UMNO Perkudakan Islam Untuk Kepentingan Politik, Merasuah dan Menindas

Umno memperkudakan nama Islam untuk kepentingan politik, merasuah dan menindas hak masyarakat Islam dan bukan Islam, sehinggakan agama suci itu dipandang rendah rakyat jelata.

Islam tidak dijadikan sebagai panduan untuk memerintah dengan keadilan, sebaliknya menghalalkan cara untuk memastikan mereka terus mengamalkan rasuah dan menyalahguna kuasa.

Demikian kata Presiden Pas Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya kepada lebih 3,000 hadirin pada Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

“Umno menunjukkan model Islam yang salah kepada rakyat berbagai kaum dan agama, serta menghilangkan kewibawaan umat Islam.

“Mereka tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah dengan keadilan dan hikmah untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya,” kata beliau.
“Sifat Islam yang adil untuk semua tidak dapat dibuktikan, manakala amalan amar makruf nahi mungkar dibelenggu oleh sistem yang menghalangkan,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menambah mercu suar pemerintahan Umno-BN selama ini adalah ketakutan. Kerajaan di bawah Umno-BN menyaksikan polis diperkudakan, Akta Keselamatan Dalam Negeri diguna untuk membisukan suara bangkangan, manakala media ditundukkan dengan pelbagai akta-akta anti-demokrasi.

“Ianya digunakan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Umno dan BN, melindungi kezaliman dan penyelewengan secara undang-undang, dan menghakis amalan demokrasi, bukannya menjaga keamanan dan keselamatan negara,” kata Hadi.

“Kita berpendapat bahawa untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara hendaklah melalui undang-undang dan sistem kehakiman adil. Pra-syarat melahirkan negara demorkasi adalah sistem pilihanraya yang bebas, pemisahan kuasa eksekutif-legislatif-kehakiman yang jelas, serta kebebasan bersuara dan komitmen kepada hak asasi manusia,” tegas beliau.

Presiden Pas yang menang tanpa bertanding itu juga turut dukacita kepada maslahat bangsa Melayu dibawah Umno.

Obor jati-diri Melayu malap dan malar dalam arus perdana pembangunan negara dengan dasar-dasar kerajaan Umno-BN yang masih terperangkap dalam kerangka minda penjajah.

“Sejak memikul amanah memimpin negara, UMNO telah meminda perlembagaan negara beberapa kali, pindaan yang lebih bersifat tikus membaiki labu, kerana lebih bertujuan untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukannya bertujuan islah untuk memerdekakan negara sepenuhnya daripada kongkongan jahiliyah yang masih membelenggu dan menghina Islam."

“Umno melemahkan Bahasa Melayu, Jawi dan peranannya dalam ilmu. Ini sangat memalukan bangsa Melayu kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, tetapi tulisan Jawi dan Bahasa Melayu dipinggir oleh dasar yang digubal Umno,” tegas.

UMNO juga meneruskan sistem yang melemahkan Bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad, setelah Bahasa Melayu bertulisan jawi menjadi bahasa ilmu di rantau Asia Tenggara. Inilah peranan pemimpin UMNO yang menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan menukar tulisan bagi Bahasa Melayu dari tulisan jawi ke tulisan rumi.

Apabila ianya diaktakan, maka peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit menuju ke penghujung penggunaannya. Tulisan jawi dilemahkan oleh UMNO selepas zaman penjajah asing gagal melemahkannya.

Hari ini, UMNO telah sekali lagi mencatatkan satu sejarah baru dengan meneruskan agenda pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk memajukan bangsa, sedangkan pelbagai kajian di peringkat nasional dan antarabangsa yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa pembelajaran sains dan matematik di peringkat asas ini mestilah dilaksanakan menerusi bahasa ibunda masing-
masing.

"Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, bahawa PAS tidak anti kepada Bahasa Inggeris, atau mana-mana bahasa yang ada di dunia ini. Pandangan PAS adalah sama dengan pandangan para pengkaji dan sarjana bahasa, bahawa pengukuhan terhadap Bahasa Inggeris mestilah berasaskan kepada memperkukuhkan pembelajaran bahasa itu sendiri." tegasnya.

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter