AMARAN: JK Disiplin PAS akan bertindak jika ada ahli yang singkap kembali isu Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin PAS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dalam parti yang membuka kembali perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan.

Pengerusinya yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah itu berasaskan penetapan yang dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar isu kontroversi itu dihentikan serta-merta.

Menurut beliau, penegasan itu hendaklah dipatuhi semua peringkat kepimpinan parti memandangkan penetapan yang disepakati kedua-dua pemimpin parti itu diterima baik serta berjaya meredakan ahli dan penyokong di seluruh negara.

"Sebarang huraian dan kenyataan yang cuba membuka kembali perbincangan akan mengundang pelbagai reaksi dan membuka semula ruang fitnah dalam jamaah. Sekiranya fenomena ini berlaku, Jawatankuasa Disiplin parti akan bertindak dengan mengambil tindakan disiplin demi menyelamatkan parti dari pergolakan yang sangat merimaskan ahli-ahli," tegas beliau dalam blognya.

Tambah Tuan Ibrahim, ingatan ini perlu dilihat secara serius memandangkan PAS telah terlepas dari satu ribut yang menggoncang keutuhan dan setiakawan parti, dan sebarang pandangan yang berbeza boleh disalurkan melalui saluran rasmi parti, bagi mengelak ia disalahertikan oleh media arus perdana.

"Pandangan dan niat baik kita, belum tentu diterima baik oleh orang lain. Apatah lagi dalam suasana fitnah yang belum reda sepenuhnya ini. Saya peringatkan semua pihak, apa yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w tentang "Fitnah ialah sesuatu yang sedang tidur, jangan ada sesiapa yang mengejutkannya"," tambah beliau.

Ingatan Pengerusi Jawatankuasa Displin PAS ini dipercayai ditujukan kepada semua ahli parti yang sejak kebelakangan ini masih ada yang berminat untuk menimbulkan semula isu Kerajaan Perpaduan.

Pada 22 Jun lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang diwakili Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang bersetuju menolak agenda Kerajaan Perpaduan, sebaliknya memperkukuhkan pakatan itu dengan menyifatkan ia suatu percubaan Umno untuk memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Hari yang sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya sejurus perjumpaan khas dengan pimpinan tertinggi parti di Pejabat Agung PAS, mengambil keputusan sebulat suara menghentikan serta-merta agenda Kerajaan Perpaduan seperti mana yang telah dicapai oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat.

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib-Naib Presiden - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Sumber: http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter