PAS gagal menambah undi

Saya mencari semula keputusan PRU 12 bagi N41 Manek Urai tetapi tidak berjumpa. Seingat saya PAS menang dengan majoriti lebih 1300 hasil daripada lebih 5700 undi yang diterima oleh calon PAS iaitu arwah Pak Sue. Dalam PRK yang baru berlangsung ini, calon PAS Abe Uji telah berjaya mempertahankan kerusi PAS dengan majoriti 65 sahaja. Secara kasarnya penyokong PAS kecewa. Tetapi sebenarnya UMNO yang kecewa. UMNO kecewa kerana tidak mampu mencuri banyak undi PAS. Undi PAS merosot daripada 5700 ke angka 5300. Anggaplah 400 itu pengundi atas pagar. UMNO pula terpaksa mengerah seluruh tenaga untuk menambahkan seribu undi yang mungkin daripada pengundinya yang tidak keluar mengundi pada PRU 12 yang lalu.

Jelaslah kepada kita yang pengundi PAS tidak berubah hati. Isu-isu tempatan dan nasional yang mewarnai PRK ini tidak begitu mendatangkan kesan kepada pengundi. Pengundi PAS tetap menyokong PAS. Penyokong UMNO pula terus menyokong UMNO. Isu royalti, isu jambatan, malah apa jua isu hanya menghangatkan pentas ceramah. Itu sahaja.

Patutlah awal-awal lagi PM Satu Malaysia memperkecilkan majoriti 1300 yang diperolehi oleh PAS sebaik sahaja arwah Pak Sue dikebumikan. Rupa-rupanya UMNO telah mengenalpasti ada lebih seribu penyokongnya yang tidak keluar mengundi pada PRU 12. Tugas UMNO di Manek Urai amat mudah iaitu memastikan 1200 pengundi ini keluar mengundi. Pengundi ini dijemput dan dihantar pulang hingga ke muka pintu. Pengundi yang uzur dilayan seperti VVIP. Pengundi kategori ini mungkin juga diberi elaun khas sekurang-kurangnya RM300.

Oleh itu PAS janganlah terlalu kecewa. PAS sepatutnya bangga kerana pengundi setianya tetap tegar bersama PAS. PAS hanya perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengambil hati penyokong UMNO. Jangan pinggirkan mereka. Jangan rendahkan amalan UMNO yang suka melepak di kedai kopi. Jangan buatkan mereka tersipu-sipu dengan PAS. Dekatilah mereka. Masuklah ke dalam rumah mereka.

Berdasarkan keputusan PRK Manek Urai dan juga DUN Terong semasa PRK Bukit Gantang, ternyata UMNO masih gagah di perkampungan Melayu tradisional. Jikalau di Kelantan UMNO masih bernafas, sudah tentulah di negeri lain UMNO masih bertenaga. Oleh itu pemimpin dan pendokong PR hendaklah kreatif dan kritis ketika mencari langkah terbaik mengambil hati pengundi. Masalahnya di peringkat PR sendiripun masih ada jurang yang masih gagal diselesaikan oleh pimpinan pusat atau negeri. Penubuhan dan pembentukan organisasi PR di peringkat parlimen atau DUN masih lagi terkial-kial.

Di Perak, PR menuntut dan mendesak UMNO membubarkan DUN Perak. PR Perak begitu yakin boleh mengulangi semula kemenangan PRU 12. Setelah lebih lima bulan UMNO merampas Perak, tiada sebarang usaha berkesan yang dilakukan oleh PR Perak selain ceramah dan hi-tea. Bolehkah PR Perak merampas 27 DUN milik UMNO? Kemungkinan besar DUN kebanggaan PAS di Lubuk Merbau dan Alor Pongsu yang akan diratah oleh UMNO.

Berdasarkan sokongan statik orang Melayu terhadap PAS di Manek Urai, ada kemungkinan MB DPulau akan lebih yakin untuk membubarkan DUN Perak. Peluang UMNO untuk menang di Perak lebih cerah jikalau Manek Urai dijadikan ukuran. Lagipun DUN yang PAS menang di Perak bukanlah besar sangat majoritinya. PAS harus menerima hakikat bahawa PAS masih gagal menyerlahkan kebaikannya kepada pengundi Melayu. Agaknya kerana itulah PAS mahu mengikut jejak MB Nizar yang bertanding di kawasan pengundi pelbagai kaum, di DUN Pasir Panjang.

Apa-apapun tahniah kepada ADUN Manek Urai, YB. Mohd Fauzi Abdullah.

Sumber: http://jantantuya.blogspot.com

 
Load Counter