Bagaimana Selangor di-"PERAK"kan?

Oleh Lim Hong Siang

Walaupun kawasan DUN Permatang Pasir, Negeri Pulau Pinang bakal menjadi gelanggang silat politik lantaran pilihan raya kecil yang akan berlangsung mulai 17 Ogos, namun bahang politik ternyata lebih hangat di Selangor.

Pada 9 Ogos, Presiden UMNO, Najib Abdul Razak menyatakan secara terbuka bahawa Barisan Nasional mahu merampas semula Selangor yang merupakan nadi negara, sementara timbalannya Muhyiddin Yassin, meramalkan bahawa Pakatan Rakyat akan "terburai" dalam setahun dua ini.

Niat UMNO-BN untuk menguasai Selangor bukan rahsia lagi. Malah, selepas 8 Mac 2008, PAS ditawarkan untuk membentuk kerajaan bersama UMNO di Selangor. Baru-baru ini, bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo dikatakan mendakwa bahawa BN akan mengembalikan kerajaan negeri Selangor pada September, tahun ini.

Perang mental

Serangan mental bahawa "Anwar pengkhianat", "DAP hina Islam dan institusi Raja Melayu" dijana semula selepas pemergian Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman dan perhimpunan Mansuhkan ISA. Hujah sedemikian menyarat di dada akhbar milik UMNO, membuka tirai pertarungan pilihan raya kecil DUN di kawasan parlimen Permatang Pauh, di bawah kerajaan PR yang didominasi DAP.

Namun demikian, bukankah lagu yang sama pernah didendangkan setahun lalu, ketika Anwar Ibrahim turun ke gelanggang Permatang Pauh? Pertaruhan yang sengit itu telah menyaksikan bagaimana Anwar berjaya menangkis segala tuduhan dan kembali ke Dewan Rakyat, setelah 10 tahun dipecat dari kerajaan?

"Isu penjualan minuman alkohol di Selangor, Anwar sebagai pengkhianat dan sebagainya, mula dihebahkan oleh UMNO di Permatang Pasir. Pada masa yang sama, seandainya dilihat dalam konteks yang lebih luas, perang mental ini sebenarnya bertujuan memecah-belahkan Pakatan Rakyat," analisa seorang pekerja dalam PKR.

Malah, penganalisa ini menganggap strategi tersebut dicedok daripada strategi Anwar ketika menguar-uarkan rancangan "tukar kerajaan pusat" pada 16 September yang lepas. Sokongan rakyat terhadap Anwar memuncak ketika itu, menambah kelebihan Anwar untuk mempelawa secara terbuka agar ahli parlimen BN menyeberang.

Perkara yang sama diulangi oleh BN, memperbesarkan kontroversi antara parti komponen PR, dan kemudian mempelawa secara terbuka pemimpin PAS supaya "bersatu" atas nama "perpaduan Ummah Islam" dan "ketuanan Melayu".

Pengajaran daripada krisis Perak

"UMNO-BN semestinya telah mendapat pengajaran daripada krisis Perak, menyaksikan bagaimana rakyat bangkit menentang rampasan kuasa oleh BN. Namun, Najib juga sedar bahawa seandainya beliau mengambil-alih kerajaan negeri secara keras, beliau tetap akan berjaya akhirnya. Syaratnya, beliau perlu meyakinkan penyokongnya bahawa tindakan tersebut adalah wajar," tambahnya.

Walaupun ketidakpuasan menyelubungi Perak secara umumnya, namun keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang mendedahkan realiti bahawa calon PAS, Mohd Nizar Jamaluddin "kehilangan sokongan Melayu" (walaupun pada kadar yang rendah), setelah diserang bertubi-tubi sebagai "penderhaka" dan "boneka DAP".

Justeru itu, UMNO-BN amat memahami bahawa seandainya rampasan kuasa berlaku di negeri Selangor, UMNO-BN perlu memastikan penyokongnya tetap bersama dengan BN, di samping tidak mencetuskan kemarahan yang meluap-luap di kalangan pengundi atas pagar.

Maka, isu perkauman dan agama dicetuskan, malah diperhangatkan baru-baru ini, dibaca sebagai langkah UMNO-BN untuk mencari "kewajaran" menghalalkan rampasan kuasa, yang mungkin berlaku kemudian.

Pergelutan di Selangor

Kerajaan PR yang diperlihatkan lebih "stabil" kerana memiliki ADUN dan EXCO yang lebih berkualiti, berbanding kerajaan negeri PR yang lain, bagaimanapun mula goyah apabila isu demi isu yang memberi kesan negatif, mula menjelma.

Mutakhir ini, isu penjualan arak yang ditimbulkan dimanipulasi sepenuhnya oleh akhbar milikan UMNO. Kenyataan Exco Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor, Hasan Mohd Ali yang berbunyi "...saya sanggup dikenakan apa jua tindakan oleh pucuk pimpinan Parti, hatta dilucutkan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor disebabkan langkah dan tindakan yang saya perjuangkan itu," dianggap mempunyai maksud tersirat.

"Apa yang diusahakan oleh UMNO-BN sekarang ialah, memastikan supaya mereka mendapat bilangan ADUN yang mencukupi untuk mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN 'bebas'," kata seorang pemerhati politik kepada MerdekaReview.

Rampasan kuasa melalui "lompatan katak" seperti di Perak mungkin mengundang pertikaian, namun seandainya UMNO-BN berjaya menghakis sokongan rakyat terhadap kerajaan PR, maka BN mungkin berada dalam keadaan yang lebih selesa.

Senjata rahsia BN

"Persoalannya, kami tidak tahu apa senjata yang dimiliki BN sekarang. Kami terpaksa mengaku bahawa terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri PR, khususnya segelintir EXCO yang mempunyai masalah. Seandainya BN menyerang kelemahan tersebut, PR mungkin sukar untuk mempertahankan kedudukannya," kata sumber maklumat.

Kekhuatiran pekerja PR ini mempunyai asasnya. Malah, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Azmin Ali sebelum ini mendesak untuk merombak barisan Exco Selangor, malah menuding jari terhadap portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, yang dipegang Ronnie Liu Tian Khiew.

"Serangan Hasan Mohd Ali boleh juga dibaca sebagai langkah desakan supaya Ronnie disingkirkan, di samping membawa makna lain yang ingin disampaikan," jelasnya.

Secara terus-terang, sumber maklumat ini mengaku kepada MerdekaReview bahawa pihak PR sendiri menerima rungutan daripada pemaju dan peniaga terhadap portfolio yang mudah mengundang kontroversi ini. Malah, seandainya kemarahan mereka meledak, tidak mustahil mereka akan berpegang pendirian untuk menggulingkan kerajaan PR di Selangor.

Namun demikian, hubungan Ronnie Liu yang rapat dengan pucuk pimpinan DAP, menyukarkan penyingkiran tersebut, katanya. Walau bagaimanapun, Ronnie yang dijadikan tumpuan serangan, menafikan tuduhan terhadap dirinya. Beliau membela diri dalam wawancaranya bersama Malaysiakini, mendakwa dirinya diserang kerana sikapnya yang sentiasa berada di barisan depan dalam banyak isu.

"Terpulanglah kepada pemimpin utama PR. Seandainya tindakan yang bersesuaian tidak diambil, sanggup membiarkan setitik nila untuk merosakkan susu sebelanga, maka tidak mustahil Selangor ditawan selepas Perak. Permatang Pasir terlalu kecil untuk BN, sekiranya dibandingkan dengan negeri yang menyumbang cukai pendapatan dan yang lain, yang dianggarkan kira-kira RM30 billion," kata penganalisa itu.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Sumber: http://www.detikdaily.net/v5/

 
Load Counter