PKR Setuju Pas Tanding Bagan Pinang

Kesepakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat dilihat semakin utuh apabila Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan secara sebulat suara menyatakan persetujuan supaya calon Pas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan, Ibrahim Yusof berkata pendirian berkenaan dibuat setelah Majlis Pimpinan berkenaan mengadakan satu mesyuarat khas bersama lapan cabangnya.

“Pendirian jelas mengikut status quo yang lama pada PRU Mac 2008. Kita berpegang pada pembahagian kerusi dan kebetulan ia adalah kerusi Pas maka kita bersetuju Pas bertanding di situ.

“Di peringkat perhubungan negeri kita secara konsisten bersetuju calon Pakatan Rakyat daripada Pas. Perbincangan dibuat di semua lapan cabang dan memuutuskan secara sebulat suara,” katanya.

Menurutnya keputusan berkenaan akan diserahkan kepada pimpinan PKR pusat bagi membolehkan kepimpinan berkenaan membuat sebarang keputusan.

Ibrahim berkata, pihaknya yakin Pakatan Rakyat akan berjaya menawan kerusi DUN N31 memandangkan gelombang kebangkitan rakyat yang masih belum reda.

“Peluang tetap ada kerana gelombang kebangkitan rakyat masih belum reda, rakyat masih dahagakan perubahan dan mahukan pembaharuan. Keduannya kalau mengambil kira PRU Mac 2008 ada beberapa kawasan yang sebenarnya ramai tidak keluar mengundi dan kita yakin kali ini mereka akan keluar mengundi.

“Dan mungkin juga pada waktu itu ada mesej-mesej tidak sampai pada peringkat pengundi. Oleh itu kita cukup berkeyakinan dalam PRU kali ini kita akan berjaya dengan sokongan semua jentera,” katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu Naib Presiden Pas Mahfuz Omar berkata, pimpinan Pas menyambut baik keputusan berkenaan sekaligus memperlihatkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi DUN berkenaan.

Menurutnya keputusan berkenaan dengan jelas mengekalkan status quo pada PRU 12 yang lalu.

“Saya menyambut baik keputusan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan khusunya rakan komponen daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP yang menunjukan kesepaatan dan persefahaman amat baik terjalin antara parti komponen Pakatan Rakyat Negeri Sembilan.

“Saya yakin keputusan itu menggambarkan bagaimana hasrat Pakatan Rakyat Negeri Sembilan untuk melihat Barisan Nasional akan dikalahkan. Saya yakin bahawa Pakatan Rakyat Negeri Sembilan akan menterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan gerak kerja yang bermula dari sekarang bagi pastikan kemenangan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat,” katanya.

Sumber: http://www.tvantara.com/v1/

 
Load Counter