Takut ugutan Umno Teluk Kemang, BN pilih Isa

Di sebalik kontroversi berpanjangan dalam soal calon mewakili BN dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan, akhirnya bekas pesalah rasuah Tan Sri Isa Samad tetap diumumkan sebagai calon BN parti itu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini.

Sekali gus menggambarkan Umno Pusat terlalu gentar dengan ugutan Umno Teluk Kemang yang berikrar akan memboikot PRK tersebut jika calon yang lain bertanding mewakili BN.

Isa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang, bekas naib presiden Umno yang digugurkan serta bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.

Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal
2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Sumber: http://www.sidangonline.net/v7/

 
Load Counter