Anwar, Muhyidin Berdebat di Bagan Pinang isu Pengkhianat Melayu?

BAGAN PINANG, 7 Oktober - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dijemput untuk mengadakan forum terbuka bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh kempen pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Saifuddin Nasution pihak KeADILan akan menghantar surat jemputan kepada Muhyiddin di pejabatnya, Putrajaya pada jam 2.30 petang esok, 8 Oktober.

"Forum tersebut adalah untuk membincangkan mengenai siapakah pengkhianat Melayu yang sebenarnya," katanya pada sidang Media harian PAS di Markaz Induk PAS, Jalan Pantai, Port Dickson pagi ini.

Tambahnya, surat jemputan tersebut akan dihantar Ketua Angkatan Muda KeADILan, Samsul Iskandar Mat Akin kepada Muhyiddin.

Sementara itu, beliau meminta Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar memaklumkan masa dan tempat pihak Umno akan membuat laporan polis tentang akaun Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berjumlah berbilion ringgit berdasarkan afidavit Dato' Morad yang disifatkan sebagai suatu kesalahan.

"Kita minta beliau memaklumkan masa dan tempat kerana kita mahu mengiringi beliau untuk membuat laporan polis berkenaan," ujarnya.

Beliau mengalu-alukan tindakan Khairy yang meminta pihak polis menyiasat mengenai afidavit tersebut tetapi pihaknya juga sudah mempunyai maklumat serta penjelasan mengenai kes tersebut.

Jelasnya, pihaknya juga akan membuat laporan mengenai skandal pembelian saham ECM-Libra yang bernilai jutaan ringgit sewaktu Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

"Kes afidavit berkenaan melibatkan Dato' Morad yang merupakan pegawai Bank Negara dan bukan penasihat politik kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi dalam kes Altantuya yang melibatkan Dato' Seri Mohd Najib Razak dan Abdul Razak Baginda mempunyai perkaitan kerana Abdul Razak merupakan penasihat politik kepada Najib, kenapa hal ini tidak disiasat begitu rupa?" tegasnya.

Sementara itu, Pakatan Rakyat menegaskan mereka tidak akan menurunkan sepanduk yang bertulis 'tolak kezaliman BN' kerana BN juga melakukan perkara yang sama iaitu enggan menurunkan sepanduk yang menyatakan bahawa PAS menolak pembangunan.

Ahli Parlimen Rasah merangkap Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook selagi BN tidak menurunkan semua sepanduk yang berunsur fitnah dan tuduhan, Pakatan Rakyat terutamanya DAP dan KeADILan juga akan melakukan tindakan yang sama.

Ditanya mengenai garis panduan bahan-bahan kempen, pihaknya menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberikan sebarang panduan mengenainya.

Beliau juga menempelak dakwaan mengenai kempen Pakatan Rakyat yang dikatakan bersifat provokasi kepada tentera dengan tujuan menghasut tentera untuk membenci kerajaan.

"Tidak timbul isu kesetiaan kepada BN tetapi kita harus setia kepada raja dan sultan kita.

"Kami mengatakan bahawa tindakan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah dianggap menghina raja dan sultan, bukan meminta mereka tidak setia kepada institusi beraja," katanya.

Kita tengok ada tulurrr ka takdak tulurrr kah kah kah

Sumber: http://loveperak.blogspot.com/

 
Load Counter