Jangan Ucap "Selamat Datang Ke Perlis Darul Wahabi!!"

Sudah dua hari sejak Dr Asri ditahan semalam, tapi cerita mengenainya masih menghiasi laman blog, akhbar dan TV kita. Semua orang bercakap, hingga PM sendiri pun berminat dengan isu panas itu.

Kata JAIS, Dr Asri ditahan kerana mengajar tanpa tauliah, yang ramai orang tidak percaya, itulah faktor beliau ditangkap. Ini kerana bukan saja Dr Asri, tapi ramai lagi yang berceramah agama di Selangor tanpa tauliah, tapi tidak diambil tindakan.

Lalu timbul pelbagai teori mengenai mengapa tokoh agama kontroversil itu ditahan. Ramai yang percaya dia ditahan kerana menyebarkan ajaran Wahabi, tapi ia pantas dinafuikan oleh pihak JAIS. Ada pula yang berkata tangkapan Dr Asri ada hubungan dengan politik.

Bercakap tentang Wahabi, teringat ketika mula-mula saya bertugas di Perlis ketika menjadi pegawai kerajaan Persekutuan suatu ketika dahulu. Rakan saya yang juga pegawai Persekutuan dari Selangor mengalu-alukan kedatangan saya ke Perlis dengan berkata, "Selamat datang ke Perlis Darul Wahabi!". Ketika itu saya tidak faham tentang Wahabi, tapi rakan itu menyatakan bila sudah lama di Perlis, fahamlah engkau apa itu Wahabi.

Berada 4 tahun di Perlis, saya menyedari banyak amalan agama Islam di Perlis berbeza dari negeri-negeri lain di Malaysia. Tapi saya tidak pasti adakah ia sebahagian dari ajaran Wahabi kerana ia tidak pernah disahkan secara rasmi oleh mana-mana pihak di Perlis. Antaranya ialah mengenai ketiadaan qunut ketika solat Subuh, memperlahan bacaan Bismillah ketika membaca surah dalam solat fardu, ketiadaan bacaan doa oleh imam yang diaminkan oleh makmum, cara duduk tahyat akhir, ketiadaan tahlil dan kenduri aruah untuk kematian, solat tarawih berjemaah di masjid-masjid yang umumnya cuma 8 rakaat, cara membayar zakat fitrahnya yang amat mudah dan banyak lagi amalan-malan yang berbeza dari amalan di negeri-negeri lain. Apabila ditanya mengapa Perlis tidak melakukan amalan Islam seperti di negeri-negeri lain, jawaban standard dari beberapa rakan anak negeri Perlis ialah umat Islam negeri itu tidak terpengaruh dengan ajaran yang bersifat bidaah.

Tetapi bagi orang Perlis sendiri, jika ditanya sama ada negeri itu mengamalkan ajaran Wahabi, ramai yang menafikannya, malah tidak pun tahu pun apa itu Wahabi! Mereka cuma menyatakan Perlis berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan kepada ajaran di dalam al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat dan 4 imam (Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali) yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Bagi saya yang sangat dangkal ilmu agama ini, saya tidak pernah rasa terganggu dengan perbezaan-perbezaan kecil yang diamalkan di Perlis itu. Saya berpendapat tidak harus kita membesar-besarkan perbezaan-perbezaan kecil dalam mengamalkan ajaran Islam sehingga ada tangkap menangkap, kecuali jika ia melibatkan ajaran sesat yang diwartakan dan sudah memang sudah jelas sesatnya seperti ajaran Ahmadiah, Ayah Pin dan sebagainya. Jika pun ada berbezaan kecil dalam mengamalkan agama, ia wajar ditangani secara berhikmah dan akademik dan bukannya menangkap secara yang boleh menimbulkan kegemparan kepada masyarakat.

Saya juga berharap kawan saya dari Selangor itu (kini tidak lagi berkhidmat di Perlis) tidak akan merujuk Perlis sebagai Darul Wahabi lagi selepas ini yang mungkin satu jenaka yang t idak disenangi oleh orang-orang Perlis.

~ pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter