ISTERI ARIFFFAHMI PULA MENJADI MANGSA

Oleh: WFAUZDIN NS

UMNO beserta mereka yang bersekutu dengannya tidak akan hidup aman dan tenteram selagi Tok Guru Nik Aziz masih memegang tampuk pemerintahan di Kelantan. Serangan musuh utama PAS ini semakin menggila sehinggakan mereka tidak boleh duduk diam sehinggalah jenerasi Tok Guru Nik Aziz dapat di`cemar'kan. Jika dahulu bermula dengan Tok Guru sendiri, kemudian menantunya dan kini anak perempuan Tok Guru iaitu isteri kepada Ariffahmi pula menjadi lawan buat golongan sekular ini.


Tulisan Nik Amalina yang merasa terkilan dan sedih di atas apa yang berlaku terhadap suami tercintanya menjadi suatu isu buat musuh PAS ini. Mereka lupa kepada kisah-kisah yang lebih mengaibkan di kalangan pemimpin Umno serta isteri-isteri mereka. Bagi mereka kesemua pemimpin Umno dan isteri serta keluarga masing-masing terlalu mulia dan wajar dicontohi oleh keluarga Tok Guru. Mata dan hati mereka kini telah dibutakan oleh Allah. Apa yang tidak mereka katakan terhadap anak perempuan Tok Guru itu di sini ?


Kita lihat tidak banyak pemimpin PAS yang bersimpati terhadap Nik Amalina walaupun sehingga kini tidak terbukti sebarang kesalahan yang telah dilakukan oleh menantu Tok Guru itu. Kita memahami isunya bukan salah laku oleh Ariffahmi tetapi isunya adalah Ariffahmi adalah menantu Tok Guru iaitu MB Kelantan. Begitu juga isunya bukan kerana menghalang Tok Guru pergi ke Mekah, tetapi isunya adalah Tok Guru telah ditaja. Ini semua lah mungkin yang menyebabkan tidak banyak pemimpin PAS yang berani mempertahankan Tok Guru iaitu Mursyidul Am mereka sendiri.

Tetapi, pelik juga kerana tidak banyak pemimpin PAS yang lantang serta berani mendedahkan mana-mana pemimpin Umno/Bn yang juga melakukan perkara yang sama iaitu mengamalkan kronisme itu. Atau adakah kesemua pemimpin Umno itu bersih ? Kita lebih fokus untuk melayani karenah jahat mereka yang ingin memburukkan imej Tok Guru Nik Aziz dan keluarganya sehinggakan terdengar suara mahukan Ariffahmi segera meletakkan jawatan walaupun beliau telah pun memberikan tarikh untuk berbuat demikian. Begitulah hebatnya kita berjuang. Jika tidak mahu bersimpati sekali pun, kononnya salah teramat besar yang telah dilakukan oleh Tok Guru dan kaum keluarganya, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu bertindak balas ke atas puak-puak ini kerana mereka juga melakukan perkara yang sama malahan lebih teruk dari yang dilakukan oleh Tok Guru dan keluarganya.

Sikap lebih senang bertahan seperti ini amat melegakan Umno. Rakyat melihat seolah-olah pemimpin Umno itu lebih telus daripada pemimpin PAS sendiri. Seharusnya PAS lebih kuat menyerang sekiranya diserang. Saya terharu dengan sokongan besar rakyat Kelantan yang terus memberikan semangat kepada Tok Guru di dalam menghadapi tekanan ini. Tok Guru kini hanya bersandarkan sokongan padu dari rakyat negeri beliau sendiri. Rakyat Kelantan sedar bahawa Tok Guru dan MB mereka kini terpaksa berdepan berseorangan dengan musuh-musuh PAS bukan sahaja dari Kelantan bahkan serangan datangnya dari Pusat. Siapa lagi yang boleh membantu Tok Guru kalau bukan rakyat Kelantan sendiri? Mereka tetap di belakang Tok Guru kerana mereka yakin Tok Guru tidak bersalah.

Saya yakin Tok Guru mampu berhadapan dengan musuh-musuh ini walau pun bersendirian. Tok Guru di dalam keuzurannya tetap menjelajah merata tempat untuk menyerang balas puak-puak penentang Islam ini, walaupun sepatutnya memadai anak-anak buah Tok Guru sahaja sudah cukup untuk berdepan dengan mereka. Mungkin ada yang gembira bila melihat Tok Guru ke sana sini bersendirian untuk mempertahankan parti, diri dan maruah keluarganya. Untuk Ariffahmi, letaklah jawatan SEGERA untuk memuaskan hati mereka ini kerana kamu dilihat lebih busuk dari pemimpin Umno di mata mereka.

 
Load Counter