Kalau Sayang PAS, Bantulah PKR

Biar pun bukan orang PKR, saya terkilan sekiranya berita mengenai pembubaran PKR Cabang Kuala Selangor adalah benar. Tambah terkilan lagi apabila cabang itu adalah cabang yang diketuai sendiri oleh Khalid Ibrahim.

Umno tentu gembira dengan perkembangan ini. Mereka tentu menyimpulkan bahawa PKR semakin ditolak oleh rakyat dan Umno semakin pulih di Selangor. Sama ada kesimpulan Umno itu benar atau salah, itu bukan isunya. Isunya ialah, mengapa cabang itu boleh terbubar?

Kalau yang terbubar itu adalag ranting (dalam PAS disebut cawangan), tidaklah ralat sangat. Itu biasa sahaja berlaku samada di dalam PAS atau Umno. Di dalam PAS sendiri ada cawangan yang cuma tinggal nama tetapi tidak punya apa-apa. Dalam Umno pun sama saja.

Tetapi apabila yang terbubar itu adalah cabang (dalam PAS di sebut kawasan), ini bukan perkara kecil. Kalaulah berita ini benar, ini bukan lagi tamparan tetapi ‘tendangan’. Kalau ‘cabang’ sudah patah, bagaimana dengan ‘ranting’?

Bolehkah ‘ranting’ bertahan kalau tanpa ‘cabang’?

Masalah ini bukan sahaja menuntut keprihatinan PKR, malah keprihatinan PAS dan DAP juga. Runtuhnya cabang PKR tidak dapat dinafikan akan turut memberi kesan yang tersendiri kepada PAS dan DAP. ‘Damage’ keruntuhan cabang ini turut menimpa PAS dan DAP.

Bagi saya, kalau ada orang PAS yang rasa seronok dengan apa yang menimpa PKR ini, kemudian mengeluarkan perkataan yang melahirkan ‘kegembiraan’ dengan apa yang berlaku itu, cadangan saya ‘cabaikan saja mulut orang itu’.

PAS dan PKR bersahabat. Bukan bersahabat untuk kepentingan dan harapan seorang atau dua orang, tetapi bersahabat untuk kepentingan dan harapan rakyat.

Mana boleh seorang sahabat ketawa menyindir apabila sahabatnya ditimpa musibah. Dia mesti menghulurkan tangan membantu sahabatnya yang jatuh itu. Bangunkannya kembali, pimpin dia dan bekalkan apa sahaja keperluannya untuk membolehkannya meneruskan persahabatan dengan kita.

PAS Selangor tidak boleh memandang kecil isu. PAS Selangor dan PAS Kawasan Kuala Selangor mesti bertindak sesuatu dengan segera.

Sekiranya pendokong cabang PKR di situ sebelum ini hilang kepercayaan dengan parti itu, PAS perlu mengenalpasti mereka yang berada di luar PAS untuk diaktifkan dan digerakkan sebagai aktivis PKR cabang itu.

Malah, bagi saya tidak salah untuk sementara waktu, para aktivis PAS bergerak aktif di situ untuk memastikan cabang PKR Kuala Selangor dapat diaktifkan kembali. Tindakan ini tidak boleh ditangguh lagi. ‘By hook or by crook’.

Kita akui, Khalid Ibrahim tidak sempurna. Ya, mana ada manusia sempurna. PKR juga ada kelemahan dan kesilapannya, sama macam parti-parti lain juga.

Kewajipan kita kini, bukan menampilkan kelemahan, meriuh-rendahkan kesilapan, tetapi memperbaiki kelemahan itu dan menampung kesilapan yang ada dengan kelebihan dan keupayaan kita. Jangan biarkan PKR keseorangan berhadapan dengan masalah itu.

Seseorang sahabat sangat mulia pekertinya jika dia sanggup bersusah-payah untuk meringankan bebanan sahabatnya.

Seburuk-buruk PKR, buruk lagi Umno. Jangan kita menghukum PKR kerana kesilapan yang dilakukannya dalam tempoh setahun tetapi merelai kesilapan Umno yang dilakukan selama lima puluh tahun. Seburuk-buruk Khalid Ibrahim, dia lebih baik Khir Toyo.

Kalau orang PAS sayangkan PAS, dia mesti membela PKR. Kalau ada PAS mengaku sayangkan PAS tetapi turut membantu untuk melemahkan PKR, orang itu adalah ‘musuh’ dalam selimut.

Ini bukan masanya untuk komponen PR mencari kesilapan antara satu sama lain tetapi adalah masa untuk menjulang harapan rakyat. Kini ada tiga penjulang dan kalau salah satu daripadanya keletihan, mampukah yang dua lagi untuk terus menjulang?

Sumber: http://bongkarsauh.blogspot.com/

 
Load Counter