Allah sentiasa bersama dengan orang zuhud, tidak kira mereka dari parti atau bangsa apa

Saya sedang melalui pengalaman baru dan pengalaman ini sangat berharga bagi saya. Pengalaman yang saya maksudkan ialah mengenali lebih dekat lagi sikap melayu UMNO. Rupa-rupanya masih banyak yang saya kurang faham tentang ahli-ahli UMNO walaupun saya berada didalam parti itu selama 40 tahun. Agaknya saya tidak memahami pemikiran diluar kotak kerana saya terlalu taksub kepada UMNO itu semasa saya berada didalamnya.

Saya hanya memahami dengan lebih dekat lagi sikap dan pemikiran mereka sejak saya mengambil keputusan menyertai Parti Tindakan Demokratik, parti momokan UMNO sejak 46 tahun yang lalu. DAP itu komunis, DAP itu chauvinistik, DAP itu anti Melayu dan anti Islam dan DAP itu segala-galanya yang buruk. Segala ‘superlatives’ buruk di berikan kepada DAP.

Yang menjaga Islam itu hanya UMNO, Yang berjuang untuk melayu itu hanyalah UMNO, yang mempertahankan agama itu UMNO , yang anti komunis itu UMNO dan semua yang baik dan syumul itu UMNO. Mereka seolah-olah mengaku mereka sahaja yang akan masuk syurga dan saya yang masuk DAP ini akan menjadi ahli neraka. Tetapi kumpulan ini tidaklah ramai. Sebagaimana yang saya telah tulis dahulu penyertaan saya dalam DAP mandapat sokongan ramai orang Melayu juga.

Tetapi yang saya hendak komen ini adalah untuk memberi respon kepada segelintiran orang Melayu Islam yang menyatakan yang saya ini telah menjual bangsa dan agama kerana menyertai DAP. Apa yang saya jualkan pun saya tidak tahu, kerana saya tidak menjual agama saya dan bangsa saya. Malahan salah satu sebab saya menyertai DAP itu ialah kerana pada hakikatnya UMNO lah menjualkan bangsa dan agamanya.

UMNO hanya kekal dengan menterbiahkan syariat semata-mata. Mereka hanya menumpukan kepada hukum hakam agama sahaja. Tetapi hukum hakam itu sendiri diubahnya. Islam menegah umat melakukan rasuah. Islam menganggap perasuah itu serupa orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi rasuah itulah yang dilakukannya dan ia merupakan pertentangan yang ‘head-on’ terhadap agama Islam yang dilaungkannya. Selepas makan rasuah mereka bercakap tentang melayu masuk DAP itu sebagai penjual agamanya.

Saya bukan orang yang pandai tentang agama tetapi saya mengakui yang agama islam itu merupakan addin, atau apa yang kita fahami sebagai cara hidup. Perwakilan UMNO diperhimpunan agong parti itu setiap tahun bercakap pasal addin ini, tetapi mereka tidak pernah mengaddinkan agama anutan mereka. Segala syariat dan rukun yang perlu kita sempurnakan itu ialah untuk mengasaskan umat mengaddinkan agamanya. Maksudnya hidup jangan bertentangan dengan syariatnya, dan kehidupan mesti melakukan amal makruf nahi mungkar.

Tetapi UMNO melakukan perkara yang terbalik. Mereka melakukan ‘amal mungkar nahi makruf’. Mereka selalu melakukan yang mungkar dan tidak melakukan yang makruf. Rasuah itu kerja mungkar. Menggunakan kuasa secara salah itu mungkar. Menambah harga belian barangan dan alat senjata untuk mendapat komisyen melalui ‘consultant-consultant kangkong’ itu mungkar. Menggunakan wang rakyat untuk membiayai kenduri pertunangan anak itu mungkar. Membotakkan hutan untuk menebang balak sehingga licin itu mungkar, membunuh orang itu mungkar, mengambil wang rakyat untuk selamatkan perniagaan anak itu mungkar, mengaibkan orang lain itu mungkar.dan banyak lagi kerja mungkar dilakukan oleh UMNO dan BN.

Tetapi kumpulan kecil ini menuduh saya menjualkan agama saya dan bangsa saya kerana menyertai DAP. Saya yang tahu, yang saya tidak kurang Islam saya dan tidak kurang Melayu saya setelah menyertai DAP.

Elok kita kaji dan fahami apa itu addin Islam. Islam itu merupakan agama yang mempunyai nilai yang ‘universal’ dan nilai ‘universal’ itu adalah suci kerana Islam itu suci. Nilai-nilai Islam itu dipraktikkan oleh banyak kerajaan yang pemimpinnya tidak beragama Islam. Di England pemimpin-pemimpinnya melaksanakan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. Pentadbiran negara itu tinggi nilai Islamnya dan mereka mengaddinkan cara Islam.

Etika kepimpinanya tinggi. Blunkard, menteri dalam negerinya, telah mengambil tindakan meletakkan jawatan kerana satu kesalahan etika kepimpinan yang bernilai Islam itu. Beliau telah mempercepatkan permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk ‘amah’nya. Apabila diketahui umum beliau meletakkan jawatan semata-mata mempercepatkan permohonan teman wanita beliau itu. Mereka bukannya orang Islam tetapi mereka pula yang mengaddinkan Islam. Itu menunjukkan yang Islam itu merupakan nilai ‘universal’ yang baik dan suci.

Bandingkan dengan negara kita yang pemimpin-pemimpinnya melaungkan Islam ini. Apa yang saya sebutkan dalam para awal tadi membuktikan kita hanya pandai bercakap tentang Islam tetapi tidak berdaya untuk mengaddinkan Islam itu. Menteri-menteri kita yang beragama Islam, tidak kira yang masih muda atau yang sudah tua ganyut masih mencari dan memompong harta rakyat tanpa segan silu. Setelah bersara masih lagi mencari peluang menggunakan pengaruh, nama dan gelaran untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi.

Semua harta kekayaan negara hanya untuk segelintiran kroni sahaja. Syed Mokhtar, contohnya, dibentuk dan dibantu untuk membolot semua perniagann dilaut, diudara dan dibumi. Pemimpin UMNO yang besar-besar takut kepada kapitalis yang terbentuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat yang ramai.

Sebaliknya orang Melayu yang sepatutnya mendapat apa yang telah ditandatangani secara rasmi mengikut undang-undang dinafikan hak mereka. Rakyat Kelantan sehingga hari ini tidak mendapat royalti minyak seperti yang dipersetujui dalam perjanjian ‘vestine’ yang ditanda-tangani pada 27hb Mei 1975 yang lalu. Semua rakyat Kelantan yang rata-rata orang Melayu dibohongi kerana mereka (UMNO) supaya rakyat Kelantan menyokong UMNO. Islam kah ini? Kata islam itu adalah addin, kenapa tidak diaddinkan Islam itu? Kata rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mana dia semuanya itu?

Pemimpin-pemimpin UMNO hanya pandai bercakap tentang addin, tetapi tidak mahu melaksanakan addin itu. Bercakap itu berbelit-belit dan bercabang-cabang lidah mereka. Kalau hendak diikutkan hati mahu rasanya kita meminta supaya pemimpin-pemimpin UMNO membuka mulut mereka lebar-lebar supaya kita nampak apa jenis lidah yang ada didalam mulut mereka itu…lidah manusia atau pun lidah biawak?

Sekarang sampai saya menjawab tuduhan terhadap saya yang saya telah menjualkan agama dan bangsa saya. Sekarang siapa yang sebenarnya menjual agama dan bangsanya? saya atau pemimpin-pemimpin UMNO, yang besar dan yang kecil, yang muda dan yang tua ganyut itu?

Yang penting bagi saya ialah, apabila kita beragama akhirnya kita mesti kuat untuk mengaddinkan agama itu. Kita wajar bersama kerajaan yang mampu mengaddinkan pentadbiran dengan nilai-nilai yang dituntut agama. Setelah jemu menunggu satu kerajaan yang mengaddinkan agamanya tidak kunyung sampai, maka saya tidak lagi mahu bersama parti yang telah menjual agamanya dan bangsanya seperti UMNO itu. Saya mengambil tindakan keluar untuk mencari kerajaan yang mengaddinkan Islam itu.

Didalam UMNO agama dan bangsa itu hanyalah bahan retorik mereka semata-mata tetapi apa yang mereka lakukan setelah mendapat kuasa semuanya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan addin Islam itu….rasuah sana rasuah sini… Di atas rasuah di bawah pun rasuah.

Dimanakah nilai dan addin Islam itu berada? Ia berada di Kelantan, Kedah, P Pinang dan Selangor, kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim. Di Pulau Pinang rasuah terlalu minima. Begitu juga di Selangor. Di Selangor pimpinan TS Khalid Ibrahim pasti tidak akan ada rasuah seperti rasuah PKFZ yang mencecah angka sehingga RM12 billion. Itu baru satu projek. Banyak lagi contoh-contoh jika kita mahu buktikan. Agama sentiasa dilacurkan dan diabaikan.

Tetapi UMNO kini menyampah pula bila pihak lain berjaya mengaddinkan Islam itu kerana mereka hanya mengaku sebagai parti dan pejuang Islam selama ini tetapi tidak berjaya hendak menjadikan Islam itu sebagi addin. Malahan cara UMNO dan penyokongnya memilih untuk menghina orang lain, mencarut dengan kata-kata kotor yang layaknya untuk orang kafir sahaja. UMNO yang mengakui sebagai Islam juga perlu memahami yang rasuah itu adalah kerja kafir kerana ia bertentangan dengan Islam.

Apa-apa kejayaan yang terbukti mampu dilakukan oleh kerajaan PR dinafikan. Pemimpin-pemimpin dan penyokong tegar UMNO selalunya tidak akan dapat mematahkan debatan pihak alternatif, justru mereka memilih untuk mencarut dan mereka menunjukkan kekosongan didalam benak mereka.

Akhirnya wajar kita semua memikirkan siapa kita disisi Tuhan dan agama. Jangan senang-senang menuduh orang lain menjual Islam dan bangsanya. Buatlah ‘instrospeksi’ terhadap diri masing-masing sebelum mengkafirkan orang lain.

Bertawajjuh lah kepada Rasul dan bertawassul lah kepada Allah secara intensif. Insyallah Tuhan tetap bersama kita. Tuhan akan tetap bersama sesiapa yang zuhud, tidak kira seseorang itu menjadi ahli parti Liberal Democrat Britain, ahli parti Demokrat Amerika Syarikat , atau ahli DAP Malaysia dan parti KIMMA Malaysia.

Dosa yang tidak terampun ialah mendua dan mensyirikan Tuhan. Itulah sebabnya saya tenang sahaja apabila meninggalkan UMNO dan menyertai DAP kerana yang saya tinggalkan itu adalah parti politik yang hampir usang, bukannya meninggalkan Tuhan.

Tak tahu pula saya meninggalkan UMNO satu tindakan syirik. Setahu saya ia bukannya tindakan syirik tetapi tindakan yang dituntut.

Sumber: http://aspanaliasnet.blogspot.com/

 
Load Counter