Kemenangan Mat Sabu bahaya besar buat Umno dan Barisan Nasional

Seperti yang diramalkan seawal pencalonan, Haji Mohd Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menang bergaya sebagai Timbalan Presiden Pas dipemilihan pucuk pimpinan Muktamar Pas kali yang ke-57 yang berlangsung di Taman Melewar semalam.
Walaupun Mat Sabu ditentang hebat oleh seorang lagi calon daripada golongan ulama iaitu Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang diharapkan dapat mengekalkan penguasaan golongan ulama diperingkat tertinggi pimpinan parti, ianya tidak sedikit pun melemahkan semangat perwakilan untuk mengundi perubahan.

Perwakilan yang bertandang ke Muktamar tahun ini membawa bersama suara dan hasrat ahli-ahli akar umbi yang mahukan perubahan diperingkat pucuk pimpinan. Perubahan yang dimaksudkan adalah dari segi gerak kerja parti yang selama ini dilihat lemah dan lembab dalam menggembeleng ahli-ahli mara kehadapan menjulang parti serta menangkis serta menghentam serangan-serangan Umno dan Barisan Nasional yang semakin hari semakin keras, ganas dan kurang ajar.

Pimpinan ulama dibawah Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebelum ini dilihat gagal dalam menangani isu-isu yang direka cipta Umno. Malah, Ustaz Nasharuddin dilihat ahli Pas sebagai seorang pimpinan yang lebih mesra Umno apatah lagi dengan isu kerajaan perpaduan yang mana beliau dikatakan salah seorang pemain dalam kemelut tersebut.

Pimpinan ulama secara keseluruhannya kurang menyerlah dalam mendepani isu-isu parti. Mereka dilihat lebih gemar mendiamkan diri tanpa turut terlibat merungkaikan kekusutan isu-isu dilontar pihak musuh. Sebagai contoh, dewan ulama negeri Perak yang kurang dikenali ahli-ahli Pas sendiri apabila gagal turun padang bertemu dengan ahli-ahli. Mereka bukan sahaja tidak kelihatan ditapak-tapak ceramah, rapat umum malah sikap membisu mereka didalam isu ancak yang dilakukan oleh Zambry Abdul Kader dan membiarkan hanya Dewan Pemuda Pas Perak dan Dato Seri Nizar mengenengahkan isu itu, amat menyedihkan.

Berlainan dengan pendekatan yang diamalkan oleh Mat Sabu. Berani bersuara dan kehadapan dalam isu-isu parti, rakyat malah keperingkat antarabangsa. Sebut sahaja nama Mat Sabu, pasti semua orang kenal. Baik yang tua mahupun muda, sehingga keperingkat kanak-kanak. Baik Cina, India apatah lagi orang-orang Melayu tidak kira daripada parti mana, pasti sedia kenal Mat Sabu.

Setiap malam-malamnya dipenuhi dengan ceramah. Jika ada mana-mana kawasan ataupun cawangan yang bercadang untuk mengadakan ceramah, pasti nama Mat Sabu yang menjadi pilihan pertama dan utama. Teringat saya mengenai permintaan kawasan Batu Gajah yang amat-amat berharap agar Ketua Penerangan Pas Perak, YB Drs Khalil Idham Lim mengusahakan kedatangan Mat Sabu berceramah disana, kerana terdapat seorang ahli (kini telah kembali kerahmatullah) yang telah menginfakkan sejumlah wang untuk jamuan sekiranya Mat Sabu datang berceramah dikawasan itu. Semasa ceramah Pas Ganti Umno di Kg Meranti Lapan, Lahat pula, Mat Sabu tidak sempat sampai kepentas ceramah akibat kesesakan lalulintas dimalam raya Cina setelah menziarahi ibunda yang sakit, namun suaranya berceramah singkat dengan menggunakan talian telefon bimbit sudah cukup memuaskan hadirin ramai yang telah menunggu lama. Begitulah popularnya Mat Sabu dipentas ceramah.

Susuk tubuh dan imej Mat Sabu sendiri amat sinonim dengan rakyat kebanyakan. Seperti orang susah. Pas berdiri daripada orang-orang Melayu Islam yang hidup susah. Cuma kebelakangan ini para profesional yang hidup senang dan mewah bersama-sama didalam Pas. Mat Sabu adalah ikon kepada rakyat. Baik ahli Pas ataupun tidak.

Jika terdapat demonstrasi jalanan, rapat umum atau apa saja program yang berhadapan dengan pihak berkuasa polis atau FRU, Mat Sabu lah orangnya yang akan kehadapan. Ditahan polis, dipukul diterajang bukanlah satu ketakutan buat Mat Sabu kerana beliau pernah merasakan kelat kuasa ISA di Kamunting. Gari, cota, air asid dan gas pemedih mata adalah mainan Mat Sabu. Himpunan Bersih 2.0 Julai ini pula bagai tidak lengkap tanpa imej Mat Sabu diposternya.

Pelbagai tohmah dan strategi telah dicuba Umno agar Mat Sabu tidak terpilih ke kerusi Timbalan Presiden Pas kali ini. Tetapi itu semua telah berlalu. Kini Umno dan Barisan Nasional berhadapan dengan bahaya besar apabila Mat Sabu terpilih.

Isyarat kemenangan Mat Sabu yang dilancarkan perwakilan semalam petanda buruk buat gerombolan pertahan kuasa. Kerana kuasa itu pasti akan digoyah, digoncang dan diruntuhkan oleh seorang pejuang tulen keluaran Pas, Tuan Haji Mohd Sabu.

 
Load Counter