Kenyataan Media : ADUN Titi Serong




Oleh cina-islam

Speaker ada hak menggantung dan melantik Setiausaha Dewan Perak yang baru.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Abdul Rahman Hashim telah mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan menggantung Setiausaha DUN Perak, Hj. Abdullah Antong Sabri adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Abdul Rahman berkata, jawatan Setiausaha DUN Perak adalah jawatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) Gred M52 yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri melalui waran perjawatan yang ditandatangani oleh Menteri Besar Perak.

"Proses pelantikan dan pengisian jawatan itu memerlukan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selepas itu selaku SUK kerajaan negeri Perak dan bagi pihak kerajaan negeri, saya akan mengeluarkan surat rasmi pelantikan Setiausaha DUN Perak.

Saya tidak menafikan mengenai status dan proses pelantikan Abdullah sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) Gred M52 seperti kenyataan beliau adalah benar dan untuk makluman jawatan sebenar beliau di Pejabat SUK sekarang adalah Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (PSUK).

Namun begitu saya tegaskan di sini sejak selepas merdeka kedudukan di Pejabat SUK terdapat dua pentadbiran berbeza dengan dua ketua yang berbeza serta fungsi dan bidang tugas berbeza :

1. Pejabat Menteri Besar Perak - Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengendalikan perjalanannya.

2. Pejabat Speaker DUN Perak -Setiausaha DUN Perak (SUD) mengendalikan urusan berkaitan Persidangan DUN.

Kesimpulan awalnya SUD yang juga PSUK berketuakan dua orang iaitu SUK dan Speaker DUN.

Oleh sebab di negeri Perak tidak memperuntukkan sebagaimana di beberapa negeri lain memperuntukkan Speaker DUN boleh melantik seorang pegawai khusus memegang jawatan SUD, satu amalan yang telah dibuat sekian lama jawatan itu dilantik dengan meminjam PSUK memegang jawatan itu. Pelantikannya tidak menganggu gred penggajian dan beberapa tugas asal beliau antaranya sebagai Setiausaha Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Perlu diingatkan sebelum ini tidak berlaku krisis sehingga menyebabkan PSUK yang dilantik sebagai SUD tidak mengikut arahan dari Speaker DUN.

Mustahil seorang yang dilantik untuk memegang jawatan sebagai SUD tidak boleh menerima arahan speaker dan sebaliknya melaksanakan tugas dengan arahan dari bos pertamanya SUK bukannya Speaker DUN.

Maka berhak lah Speaker boleh menentukan siapakah yang dia mahu menjadi SUD dan dalam keadaan ini dia menggantung SUD yang dipinjam itu dengan SUD yang baru iaitu, Ust. Misbahul Munir Hj. Masduki. Mana mungkin Speaker boleh mempunyai seorang SUD yang melakukan kerja tanpa pengetahuannya termasuklah dalam menentukan tarikh persidangan 7 Mei akan datang.

Kerana itu saya mencabar Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim untuk menunjukkan apa-apa dokumen yang membenarkan bahawa jawatan SUD mutlak dan tidak boleh ditukar.

PSUK yang cuma dipinjamkan sementara kepada Pejabat Speaker DUN bagi mengendalikan Urusan Persidangan DUN boleh ditukar oleh Speaker dan tindakan Speaker menggantung dan melantik SUD baru adalah sah dan boleh dilaksanakan.

20 April 2009:

Drs. Khalil Idham Lim.
ADUN Titi Serong/
Pengerusi kelab penyokong Kerajaan Perak
Pakatan Rakyat.

http://idhamlim.blogspot.com

 
Load Counter