Meneruskan Agenda ‘Berkebajikan’ - PAS Bantu Mangsa Kebakaran



Written by Wan Kay

Setiu – PAS yang berazam untuk melaksanakan konsep ‘Negara Berkebajikan’, terus berpegang dengan janji manifesto itu walaupun belum diberikan mandat oleh rakyat negeri Terengganu.

Sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam, keprihatinan dan kecaknaan terhadap kesusahan dan masalah rakyat merupakan amanah yang dipikul setiap kepimpinan PAS.

Tanggungjawab sosial itu dilaksanakan oleh PAS Terengganu melalui sebuah Badan Kebajikan yang ditubuhkan dibawah Lajnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Terengganu.

“Kita (PAS) memang sangat prihatin dan cakna dengan rakyat dan PAS sebagai sebuah parti politik berteraskan Islam sangat menitik-beratkan soal kebajikan

“Kita (PAS) bantu pun mengikut kemampuan dan keupayaan semasa, walau pun tidak banyak (sumbangan) tetapi bertanggungjawab membantu,” kata Pengerusi Badan Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakat Abdullah, ketika ditemui melawat mangsa kebakaran di Kampung Jelapang, dekat sini, semalam.

Beliau berkata PAS berterusan membantu rakyat dalam semua segi mengikut kemampuan dan keupayaan semasa.

Katanya, meski pun ketika ini PAS bukan sebuah kerajaan, tetapi rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk kembali memerintah di masa akan datang.

Mangsa bencana kebakaran tersebut, Encik Abd Aziz Yusoff, 48, (gambar kiri) merakamkan penghargaan ucapan terima kasih kepada pihak PAS yang menurutnya sudah dimaklumi ramai bersifat prihatin dan berkebajikan.

Katanya, wakil PAS sering muncul disaat rakyat menghadapi kesusahan dan bagi diri serta keluarganya, beliau amat terharu kerana dihargai.


“Saya ucap terima kasihlah, saya cukup terharu dan menghargai kehadiran PAS dalam keadaan keluarga kami ditimpa kesusahan (kebakaran) ini,” ujarnya.

Menurutnya, kebakaran tersebut membawa kerugian harta benda, peralatan rumah, sebuah motosikal dan beberapa dokumen penting melebihi RM50,000.

Beliau yang bekerja sebagai penoreh getah bersama isteri serta seorang anaknya berada di rumah ketika kejadian berlaku pada awal malam.

Walaupun kehilangan seisi rumah yang terbakar hangus, Abd Aziz cekal dan bersyukur kepada Allah kerana seisi keluarganya masih selamat.



“Saya bersyukur, walau pun rumah hangus terbakar tetapi tidak berlaku kemalangan jiwa dan kami anak-beranak selamat,”kata bapa kepada Sembilan orang anak itu.

Beliau mengharapkan agar pihak berkaitan dan kerajaan negeri dapat segera menghulurkan bantuan.

http://www.buletinonline.net

 
Load Counter