KETERBUKAAN PAS ASAS KEKUATAN PAS



Pas yang saya sertai kira-kira 15 tahun lalu ketika itu dianggap parti golongan lebai, berkopiah putih dan bertudung labuh. Amat sukar untuk melihat golongan 'rugged' atau 'mat rock' seperti Saudara Sofi blogger Mutaligat berada dalam Pas. Jauh sekali untuk melihat golongan bukan Islam seperti orang Cina dan India menyokong Pas secara terbuka seperti hari ini.

Sehinggalah muncul gagasan baru yang dibawa oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Nor iaitu 'Memasyarakatkan Pas'. Di antara sedutan ucapan Almarhum yang saya masih ingat sampai sekarang ' Pas perlu masuk dan larut ke dalam masyarakat, Pas perlu diwujudkan dan dikenali di di setiap jalan dan setiap lorong...'

Hari ini kesinambungan 'Memasyaratkan Pas' diterjemahkan dalam jenama baru ' Pas For All'. Pas hari ini telah berjaya bukan sahaja merentasi sempadan di antara negeri dan negara tetapi melangkaui perbezaan budaya, bangsa dan agama.

Muktamar Pas yang bakal berlangsung 3 hingga 7 Jun ini terus menterjemahkan tentang keterbukaan dan demokrasi yang cukup subur di dalam Pas. Sesiapa sahaja ahli Pas walaupun yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak atau di Hulu Pahang, Terangganu dan Kelantan boleh bertanding mana-mana jawatan dalam Pas asalkan mendapat pencalonan dari kawasan. Walupun hanya mendapat satu pencalonan!

Maka hari ini ramilah muka baru dan lama dicalonkan untuk jawatan tertinggi parti. Wujudlah senario kononnya persaingan di antara golongan profesional dan ulamak. Siapa yang melabelkan mereka begitu? Tak lain dan tidak bukan adalah dari parti lawan yang cemburu dengan kekentalan dan perpaduan perjuangan Pas selama ini yang mengalami pelbagai pasang surut dalam arus politik negara.

Jurang di antara profesional dan ulama' yang dikatakan wujud ini terutama di kalangan profesional semakin mengecil apabila ciri-ciri ulamak ada pada golongan profesioanal dan ciri-ciri profesional ada pada golongan ulamak. Ini adalah hasil kejayaan pentarbiyahan di dalam Pas selama ini.

Apa yang paling penting sesiapa pun yang terpilih dalam jawatan tertinggi dalam Pas nanti perlu memiliki sifat dan ciri-ciri pemimpin yang dituntut dalam Islam. Jika mereka cukup syarat mereka layak untuk dipilih untuk menjadi pemimpin dan menerajui Pas. Tidak timbul isu mereka golongan 'ulama'' atau 'profesional'. Apa yang lebih penting lagi mereka bersedia melaksanakan amanah dan meneruskan wadah perjuangan Pas dalam era golbalisasi yang semakin mencabar.

http://angkasanuri.blogspot.com

 
Load Counter