Pencalonan Nasharuddin Mat Isa ke kerusi Naib Presiden bukan untuk meremehkan beliau! - PAS Selayang



PAS Kawasan

Selayang hari ini menjelaskan mengapa pihaknya mencalonkan Nasharuddin Mat Isa - yang kini Timbalan Presiden PAS - untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden, lapor Abdul Rahim Sabri untuk Malaysiakini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak berniat untuk merendah-rendahkan kewibawaan Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden parti.

"Jangan bersangka, menolak Nasharuddin kerana ingin mengurangkan kewibawaannya. (Tetapi) ahli-ahli nak ketengahkan Datuk Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) dalam pentadbiran PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam mesyuarat agungnya hujung minggu lalu, PAS Selayang mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden dan mencalonkan Dr Haron sebagai Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Husam Musa pula dicalonkan untuk mengekalkan jawatannya serta mencalonkan ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk jawatan yang sama. Pemilihan calon-calon berkenaan dijalan secara undian angkat tangan oleh kira-kira 300 perwakilan yang hadir dalam mesyuarat agung kawasan tersebut.

Menurut Mohamad, Nasharuddin mendapat undi ketiga terbanyak selepas Husam dan Nizar. Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pencalonan Dr Haron bagi jawatan timbalan presiden merupakan keputusan majoriti perwakilan. Katanya, secara peribadi, beliau sendiri tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Haron tersebut.

Ini kerana, katanya, beliau sudah menjadi Timbalan Mursyidul Am dan boleh memangku tugas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Mursyidul Am PAS itu berada di luar negeri.

"Masing-masing (perwakilan) ada pendirian, ada sokongan dengan mengangkat tangan. Tak ada usaha langsung untuk merendah-rendahkan wibawa Nasharuddin," tegas Mohamad.

PAS Selangor mempunyai 22 kawasan. Difahamkan beberapa kawasan PAS di Selangor telah mengadakan mesyuarat hujung minggu lalu, termasuk Shah Alam, Kota Raja, Kelana jaya, Subang dan Kelang.

Setakat semalam, selain Dr Haron, beberapa lagi tokoh PAS dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, antaranya dua Naib Presidennya, Husam dan Mohamad Sabu serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Nasharuddin juga mendapat pencalonan untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sekarang. Semalam, Malaysiakini melaporkan, Mohamad telah mengisytihar kesediaannya untuk bertanding jawatan tersebut, manakala Husam pula masih belum membuat keputusan.

http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter