Chin Peng Tak Perlulah Pulang Ke Malaysia

Chin Peng adalah anak Perak. Dia berusaha kembali ke Perak. Melalui peguamnya dia telah berusaha untuk kembali tetapi permohonannya telah ditolak di Mahkamah Tinggi, di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan.
Maka segala usaha dari sudut undang-undang tidak menyebelahi beliau. Pintu Malaysia sudah tertutup rapat baginya.

Jika beliau sangat merindui akan kampong halamannnya, pintu penyaksian itu belum tertutup. Chin Peng mempunyai ramai saudara mara yang masih hidup, bahkan ada anak dan cucunya yang mempunyai latar belakang profesional yang boleh mengambilkan gamba secara video untuk dihantar kepada Chin Peng di Thailand.
Walaupun tidak sama diantara kehadiran secara fizikal dan menyaksikan dengan mata kepala sendiri dengan gambar video, tetapi gambar video kadang-kadang lebih memberikan kesan.

Untuk Chin Peng pulang ke Malaysia adalah sukar kerana latar belakang sejarah. Pernah dulu seorang Pemimpin Besar Komunis yang menjadi Pengerusi Parti Komunis Malaya pulang ke Tanah Air dan dialu-alukan dengan karpet merah. Musa Ahmad bukan sahaja dialu-alukan pulang ke Malaysia dari Beijing, bahkan beliau diberikan penghormatan besar oleh Kerajaan. Beliau diberikan tempat tinggal yang istimewa dan diberikan elaun sara hidup yang tinggi.

Kenapa agaknya Musa Ahmad memperolehi kedudukan istimewa? Beliau adalah komunis seperti juga Chin Peng. Beliau juga terlibat menentang Inggeris dan beliau juga mengangkat senjata bagi memerdekakan tanah air dari penjajahan Inggeris, dan beliau juga bertempur dengan semua askar dan polis yang diupah Inggeris. Beliau juga terlibat mengganasi orang kampong yang memihak kepada Inggeris.
Chin Peng dan Parti Komunisnya telah menentang penjajahan Jepun dan beliau telah diiktiraf oleh Inggeris sebagai seorang wira dan beliau dianugerahkan Pingat OBE (Order of British Empire) oleh Penjajah Inggeris.

Beliau boleh menjadi seorang pembesar Negara jika beliau melutut kepada Inggeris setelah kekalahan Jepun.
Tetapi Chin Peng mahu melihat Negaranya iaitu Malaya bebas dari cengkaman Penjajah samada Penjajah dari Timur mahupun Penjajah dari Barat.

Bukan Parti Komunis Malaya sahaja yang menentang Penjajah. Sewaktu Orang Melayu masih berleka dengan keseronokan memperolehi jawatan-jawatan didalam Kerajaan dan mengambil sikap pro-Penjajah dari kalangan aristokrat dan feudal, ada segolongan besar Orang Melayu menyedari bahawa Malaya perlu dimerdekakan dari penjajahan Inggeris.

Bukan sedikit nama-nama pejuang ini yang kini sudah dilupakan, bahkan penulis sejarah Negara mahu menghormati Pak Sako, atau Ishak Haji Muhammad sebagai pejuang seni. Mereka tidak mahu memperingati Pak Sako sebagai pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan. Mereka tidak mahu memperingati Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Diketika mana pertubuhan-pertubuhan politik progresif yang dipimpin oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Malayan Democratic Union serta Kesatuan-Kesatuan Sekerja berjuang mati-matian menentang Inggeris, ujud dikalangan orang Melayu Bangsawan yang masih ketika itu mempertikaikan kemampuan Malaya Merdeka dengan mempertikaikan juga bahawa orang Melayu masih tidak mampu membuat jarum, maka usah dimimpikan Malaya Merdeka, dan puak-puak itu melaungkan sloga Hidup Melayu.
Akhirnya semua pertubuhan-pertubuhan progresif diharamkan oleh Inggeris, ribuan pejuang-pejuang ditahan dibawah Ordinan Dharurat tanpa bicara (seperti ISA yang dijalankan oleh BN), dan ujudlah parti-parti lembik yang disogok oleh Inggeris menggantikan tempat parti-parti progresif dan Merdekalah tanah air dengan menerima dasar yang ditinggalkan oleh Inggeris dan Inggeris keluar dari pintu hadapan dan kembali dari pintu belakang, dan baham neo-kolonialisme Inggeris itu masih terasa hingga ke hari ini.

Amat sukar bagi sesipa untuk mempelopori supaya membolehlah Chin Peng pulang ke Tanah Airnya sendiri. Sesiapa yang berbuat demikian sudah tentu akan berhadapan dengan tuduhan-tuduhan mahu menghidupkan komunisme; bahkan semua mereka yang memihak kepada Inggeris dan cedera berlawan dengan puak-puak komunis pada waktu itu akann tampil kemuka untuk mengatakan mereka menjadi mangsa keganasan dan kekejaman komunis.
Tidak ada sesiapa yang ingin memperingati bahawa puluhan ribu kampong-kampong baru diserang Inggeris dan penduduknya dibunuh dengan kejam oleh Penjajah Inggeris yang menggunakan askar-askar upahan yang terdiri daripada anak-anak Melayu.

Tidak ada sesiapa yang mahu mengingati bahawa ribuan pejuang-pejuang bangsa yang terdiri daripada Orang Melayu yang dipenjarakan oleh Inggeris tanpa bicara semata-mata diatas sebab bahawa mereka itu menentang Penjajah Inggeris. Golongan Melayu Bangsawan dan Feudal memang hidup senang lenang dibawah pemerintahan Inggeris dan hingga ke hari ini anak cucu golongan itulah yang menjadi pemerintah Malaysia.
Maka tidak usahla kita benarkan Chin Peng kembali ke Tanah Airnya sendiri. Biarlah mereka yang bermati-matian mempertahankan Penjajah Inggeris sahaja tinggal di Negara ini, moga-moga satu hari nanti mereka juga akan berfikir bahawa adakah mereka itu terdiri daripada golongan patriotik kerana bermati-matian mempertahankan Penjajahan Inggeris?

Adakah mereka itu pejuang kemerdekaan? Malaya pada waktu itu dijajah oleh Inggeris. Dan adakah mereka yang mempertahankan penjajah Inggeris dan luka, cedera atau mati kerana Inggeris itu boleh dikategorikan sebagai Pejuang Kemerdekaan?
Kepada Chin Peng, tak usahlah kembali ke Malaysia jika kerana itu nanti akan menyusahkan kaum keluarga kamu yang mungkin akan dituduh menyokong perjuangan komunis dan tak semena-mena mereka ditahan di bawah ISA.

Sumber: http://lubokkawah.blogspot.com/

 
Load Counter