Hot....Kelibat RPK Kelihatan Di Chow Kit Semalam!!

Sebentar tadi penulis bersama beberapa orang rakan menunaikan solat zohor di Masjid Pakistan dekat Chow Kit. Selesai solat, kami menuju ke warung Pakistan dalam kawasan masjid untuk menikmati capati, gulai kambing dan teh kapala.

Sedang enak menikmati juadah, seorang rakan memecah bicara,"Eh kau orang tengok tu, apa pasal Raja Petra ada kat sini, bukan ke dia kat Brisbane (Australia)?

"Hairan aku, kenapa dia sorang-sorang, tak nampak Kak Marina pun (Marina Lee Abdullah, isteri Raja Petra)," sambungnya lagi.

Kami masing-masing terdiam dan terpaku seketika, terus berhenti mengunyah makanan. Masing-masing menoleh kepada sosok yang dimaksudkan oleh rakan tadi.

Seorang lelaki mirip Raja Petra, bercermin mata, berbaju putih pagoda dengan seluar jeans biru. Mundar mandir di kawasan masjid, seolah-olah sedang menunggu seseorang ataupun mencari sesuatu.

Melihat sekali imbas, wajahnya hampir serupa dengan Raja Petra, tetapi lelaki itu berjambang dan agak tinggi sedikit berbanding Raja Petra.

"Eh..bukan Raja Petra lah..aku selalu jumpa dia, mana dia ada jambang," kata seorang rakan.

"Mana tau kalau-kalau dia nak elak polis, dia pakai jambang. Tapi setahu aku tak pernah pulak aku tengok Raja Petra pegang tasbih sambil berjalan-jalan dalam kawasan masjid macam tu," kata rakan lain.

"Kan polis Malaysia terbaik di dunia (the best in the world seperti kata blogger penarik beca), tak kan tak tahu Raja Petra ada kat mana," kata rakan saya.

Lelaki tersebut agaknya sedar tingkah lakunya diperkatakan, lalu berhenti seketika memandang kami. Kami buat-buat tidak memandang beliau, kami terus mengalihkan perbualan ke topik lain, sambil menikmati capati berlauk kambing.

Tiba-tiba seorang pekerja di warung tersebut menyapa lelaki berkenaan, bercakaplah mereka dalam bahasa Urdu (Pakistan) yang tidak kami fahami, kecuali sepatah dua 'acca', 'nehi' seperti dalam filem Hindustan.

"Bukan Raja Petra lah, bila pulak Raja Petra cakap Urdu," kata seorang rakan sambil ketawa.

Kami berempat turut ketawa besar. Ketawa kerana sensitiviti seorang rakan yang begitu mengikuti perkembangan Raja Petra yang sedang dicari polis sekarang ini.

Semoga Raja Petra terus kuat dan dilindungi Yang Maha Kuasa.

- Mohd Rashidi Hassan


(Sumber: Kelab Greenboc)

 
Load Counter