Raja Nong Chik didakwa buat "gangguan seks" terhadap Dr Lo Lo Ghazali


AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Dato' Raja Nong Chik bertindak tidak sopan dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan yang bersifat 'gangguan seksual' terhadapnya pada 21 Mei lalu, lapor Intan Abdullah.

"Saya turun setiap tempat, takkan nak beritahu awak semua. Ini saya nak pergi tandas, takkan nak beritahu awak, awak nak ikut ke?" demikian ujarnya mengulangi dialog yang dimaksudkan.

Menulis dalam blognya hari ini, Ahli Parlimen Titiwangsa itu mendakwa kata-kata tersebut diucapkan oleh Raja Nong Chik sewaktu lawatan mengejut menteri baru itu ke sebuah pasar baru di Kampung Datuk Keramat petang 21 Mei lalu.

Dalam sidang media sehari selepas itu baru-baru ini, Lo' Lo' menjelaskan bahawa Raja Nong Chik telah memohon maaf kepadanya secara peribadi.

"Ini adalah merupakan isu penghinaan ke atas wanita dan beliau perlu memohon maaf secara terbuka kerana ianya perlu dibuat secara ikhlas bukan sekadar memohon maaf secara individu memandangkan beliau merupakan seorang menteri," katanya.

Bagaimanapun, beliau mahu menteri berkenaan memohon maaf secara terbuka kerana ramai orang mendengar kata-kata "lucah" tersebut.

Ahli parlimen Titiwangsa juga mempertikaikan program itu sebagai "lawatan mengejut" kerana terdapat aturcara lengkap bersama pegawai kanan kementerian, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Persatuan peniaga Wilayah Persekutuan cawangan Pasar Datuk Keramat juga diwakili oleh semua ahli jawatankuasa, dan yang paling menonjol adalah kehadiran Ketua Bahagian Umno Titiwangsa bersama timbalannya, ahli jawatankuasa, Wanita dan Pemuda Umno," kata Dr Lo' Lo' lagi.

"Ketua Bahagian Umno Titiwangsa diberi tempat istimewa sebelah menteri sepanjang majlis tersebut," ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya bakal diambil, Lo'Lo' menyatakan beliau akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan hal tersebut juga akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk perhatian kesemua ahli dewan.

"Walaupun beliau berniat hendak bergurau, kata-kata tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang menteri memandangkan itu merupakan kali pertama saya bertemu beliau sejak dilantik menggantikan menteri sebelumnya, Dato' Seri Zulhasnan Rafique," katanya.

Selain mempertikai Raja Nong Chik, wakil rakyat PAS itu memuji bekas menteri berkenaan yang disifatkannya 'jauh lebih matang, berhemah dan sering bersikap profesional' terhadap beliau dan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memuji tindakan Lo' Lo' yang sanggup berkejar ke kawasan beliau dari Port Dickson sebaik mendapat maklumat Menteri Wilayah yang baru, datang melawat Pasar Keramat.

Pada masa yang sama, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi pula menggesa agar Raja Nong Chik memohon maaf secara terbuka kepada Lo'Lo'.

"Ini merupakan tindakan yang biadap ke atas wanita dan satu bentuk gangguan seksual," katanya.

Pakatan Rakyat menguasai 10 kerusi parlimen daripada 11 kawasan di wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. BN hanya menang di Setiawangsa yang disandang oleh Zulhasnan.

Sumber: http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Load Counter