BAGAN PINANG AKAN BERTUKAR WAJAH?

Teka-teki calon-calon yang akan bertanding telah terjawab dengan pengumuman nama wakil-wakil daripada UMNO (BN) dan PAS (PR). Sudah jelas Tan Sri Isa Samad yang dicalonkan adalah yang terbaik pada mata UMNO dan begitu juga Zulkifli Mohd. Omar bagi pihak PAS. Tanpa aral kedua-dua tokoh ini akan berusaha memenangi hati para pengundi di Bagan Pinang.

Sebenarnya tidak ramai yang mengetahui lokasi Bagan Pinang. Ada juga yang menganggap ianya di Pulau Pinang kerana "Bagan" sinonim dengan negeri tersebut, ditambah pula dengan nama "pinang" itu sendiri. Umum lebih mengenali pantai Port Dickson. Kepada pengunjung lalu-lalang dari pekan PD tidak akan perasan wujudnya Kampung Bagan Pinang sebelum sampai ke pantai tempat perkelahan. Bagan Pinang hanyalah satu kawasan DUN dalam kawasan parlimen Telok Kemang. Itu sahaja signifikannya.

Hari ini Bagan Pinang tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Keputusan PRK pada 11 Oktober tidak akan menggugat kerajaan Negeri Sembilan, tetapi, akan memberi bermacam-macam isyarat kepada senario politik tanah air. Biarlah pembaca sendiri membuat apa-apa spekulasi kesannya.

Apa yang menarik bagi saya ialah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa pekan PD akan diberi nama baru iaitu Bandar Tentera. Menarik kerana sehari sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin menyatakan bahawa kemenangan calon UMNO Isa Samad akan meningkatkan usaha kerajaan untuk memajukan Port Dickson sebagai tempat pelancungan dan perdagangan.

Saya masih lagi cuba hendak menggambarkan corak lanskap baru Bandar Tentera / Pelancungan / Perdangan yang akan menggantikan Bandar Port Dickson. Mungkin satu-satunya dalam dunia!

Sumber: http://telokkemang.blogspot.com/

 
Load Counter