Nik Aziz - Tindakan Disiplin Jika Tuduh Tanpa Fakta

Mursyidul Am PAS, TuanGuru Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan bersetuju tindakan disiplin dikenakan terhadap Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamed Daud Iraqi yang mendakwa mendapat laporan kononnya berlaku unsur sogokan seperti memberikan baju dan mengadakan majlis makan oleh calon pada kempen kali ini.

Mengulas dakwaan Mohamed itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersetuju Jawatankuasa Disiplin PAS mengenakan tindakan disiplin terhadap Mohamed jika tuduhan itu palsu.

"Saya setuju benar jika hendak ambil tindakan disiplin kerana bila mahu bercakap depan ramai mesti ada fakta kerana jika tidak ada fakta ia sesuatu yang bercelaru.

"Saya juga tidak boleh memastikan apa yang dikatakannya (Mohamed) itu sebagai satu tuduhan atau teguran. Dua perkara ini sesuatu yang berbeza," katanya.

Semalam Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa meminta Mohamed memberikan bukti kepada Dewan Harian PAS mengenai dakwaan sogokan tersebut dan jika tiada bukti Mohamed boleh dikenakan tindakan tata tertib.

Walaubagaimana pun Nik Aziz tidak menolak kemungkinan berlaku sogokan atau pemberian sagu hati dalam kempen pemilihan calon parti itu ketika ini.

Nik Aziz berkata adalah sesuatu yang sangat menyedihkan jika ada unsur rasuah berlaku dalam PAS semata-mata untuk menang jawatan dalam kempen pemilihan calon.

"Mungkin benar sudah berlaku unsur itu. Kalau tidak tak kan keluar tuduhan begitu dan nasihat saya ambil duit dia (calon tersebut) tapi jangan undi dia. Biar dia rasa perit buat begitu.

"Gerunlah kepada Allah S.W.T kerana dalam Islam mengharamkan rasuah dan saya kecewa jika perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan pembiayaan peserta Ekspedisi Mendaki Gunung Everest di pejabatnya di sini, hari ini.

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter