PAS SEMAKIN MANTAP

Pas telah pun menetapkan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai (N41) adalah anak tempatan.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri, Abdul Fatah Harun berkata, keputusan itu dibuat hasil daripada kehendak akar umbi dan perbincangan yang dibuat di peringkat Pusat.

“Pucuk pimpinan Pas Pusat telah pun memutuskan nama calon tersebut dan akan diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz pada 26 Jun ini. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira banyak faktor termasuk kehendak akar umbi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Pas memilih calon anak tempatan Kuala Krai dan tidak akan melangkaui kawasan di luar Kuala Krai.

Mengulas mengenai gerak kerja jentera Pas menghadapi pilihan raya kecil itu beliau berkata, Pas telah mengatur strategi yang tersendiri dengan kekuatan yang lebih mantap dan kukuh.

“Apa yang kita lihat setakat ini ialah UMNO seolah-olah hilang akal apabila isu utama yang dibuat iaitu berhubung kerajaan perpaduan sudah tidak wujud lagi. Ini menyebabkan mereka terpaksa mencari isu lain.

“Pas sekarang semakin bernafas dan mantap. Penduduk Manek Urai juga semakin yakin dengan kepimpinan menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz,” katanya.

Menurut beliau, apa yang nyata ahli dan penyokong Pas Manek Urai bersyukur dengan pendirian Nik Abdul Aziz lebih-lebih lagi pendirian beliau berhubung isu kerajaan perpaduan.

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter