Tak Payahlah Masuk PAS!!!


Kenyataan Dr Asri kelmarin bahawa beliau bersedia menyertai parti politik untuk mengembangkan medan dakwahnya mendapat perhatian banyak pihak. Ada yang menyokong pandangan Dr Asri, ada yang menentang dan ada yang berkecuali. Kata pensyarah yang mengajar ilmu saikologi kepada kami ketika menuntut dulu, apapun yang dikatakan oleh seseorang adalah pancaran dari nawaitunya. Jadi apabila Dr Asri berkata dia mungkin akan menyertai parti politik, pasti beliau pernah terfikir untuk menyertai sesuatu parti politik. Cuma hingga kini kita tidak pasti parti mana yang bakal menjadi pilihan ulamak muda itu.

Tapi memandangkan kenyataan tersebut keluar sejurus selepas pertemuan Dr Asri dengan Murshidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, maka keluarlah andaian dalam beberapa blog, termasuk blog pro-PR dan blog pro-BN bahawa beliau akan menyertai Pas.

Bagi sesetengah penyokong Pas pasti kemasukan Asri ke dalam parti itu dilihat sebagai satu aset penting bagi memperkukuhkan parti yang akhir-akhir ini dilanda banyak isu kontroversi itu. Bagi penyokong BN pasti jika andaian itu benar ia amat mengecewakan mereka. Sister In Islam, rakan karib parti itu yang ketika isu pertelagahan Dr Asri-JAIS nampak cuba mendekati Dr Asri juga pasti kecewa jika itulah akhirnya yang terjadi.

Saya dalam hal ini lebih suka jika Dr Asri tidak menyertai mana-mana parti politik untuk menyebarkan dakwah. Saya melihat Dr Asri mempunyai pengikut dan peminatnya sendiri sama ada di kalangan penyokong PR mahupun penyokong BN dan mereka yang berdiri atas pagar. Kelibat Dr Asri di mahkamah tempoh hari membuktikan hal ini - peminatnya dari semua golongan dan pelbagai parti politik. Kedudukan Dr Asri tidak sama seperti ulamak-ulamak dalam Umno mahupun Pas dan tidak sama seperti ulamak-ulamak makan gaji pembodek Kerajaan seperti Tan Sri Harussani. Beliau jelas telah sampai ke satu tahap melangkaui politik partisan.

Justru dengan kedudukan itu, saya nampak lebih sesuai Dr Asri kekal dalam kedudukan sekarang tanpa menjadi aktivis mana-mana parti politik. Beliau akan lebih dihormati dalam kedudukan sekarang dan pandangannya akan lebih diterima. Bukan senang untuk melihat pandangan ulamak yang sering menghentam dan menyindir Umno tersiar dalam Mingguan Malaysia (MM) yang dimiliki oleh Umno itu, tapi Dr Asri mempunyai kolumnya sendiri dalam akhbar itu. Jika Dr Asri menyertai Pas, pasti beliau tidak lagi dibenarkan berkarya dalam MM dan ia sangat merugikan taktikal dan strategi Pas itu sendiri. Beliau juga pasti kehilangan banyak penyokong dan peminatnya dalam Umno termasuk Shahidan Kasim dan kepimpinan Umno lain jika berdiri dalam wadah Pas dan dengan itu akan menyempitkan medan dakwahnya.
Dan sesuatu lagi yang merugikan Pas ialah jika Dr Asri berada di dalam Pas kemungkinan besar Dr Asri akan berasa sangat segan untuk menasihati parti itu yang pemimpin-pemimpinnya adalah merupakan manusia biasa yang kadang-kadang melakukan kesilapan juga. Pas perlu dari semasa ke semasa dikritik oleh mereka yang berwibawa dan dihormati agar tidak tergelincir dari landasan perjuangannya.

Kepada Dr Asri kekallah sebagaimana sekarang. Tidak perlu masuk Pas, Umno atau PKR untuk berdakwah!


~ pendikar gunung kriang

Sumber: http://pendikargunung.blogspot.com/

 
Load Counter